Wartawan Malaysia bersama-sama rakan sejawat mereka dari Vietnam serta dari China turut serta dalam operasi mencari itu dengan menaiki satu daripada pesawat berkenaan yang berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Briged 918 di Ho Chi Minh City.
Pesawat itu meninjau di kawasan Laut China Selatan di kawasan selatan hala barat di selatan Vietnam tetapi operasi selama tiga jam itu tidak menemui apa-apa yang boleh membantu mengesan lokasi MH370 yang hilang itu. Beberapa pesawat mencari dan menyelamat turut berlepas dari pangkalan tentera udara itu pagi ini dan tengah hari, namun masih tiada sebarang berita positif.
Pencarian di kawasan selatan Vietnam diperluaskan ke kawasan hutan dan gunung berikutan laporan mungkin MH370 berpatah balik dan tersasar keluar daripada laluan biasa.
Beberapa objek telah dikesan terapung di laut, dengan operasi diperluaskan dari Laut China Selatan ke Selat Melaka dan sehingga ke Laut Andaman, melibatkan pasukan mencari dari beberapa negara dan lebih 80 kapal dan pesawat.
Operasi terus dipergiatkan dan China telah menggesa Malaysia meningkatkan lagi usaha usaha mencari dan menyelamat dan memperkukuhkan penyelarasan dalam kalangan pasukan mencari dari pelbagai negara dan rantau.
Jurucakap Kementerian Luar China, Qin Gang, dilaporkan berkata mereka tidak akan berputus asa "selagi masih ada sekelumit harapan".
MH370 membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang dengan 152 daripadanya adalah warganegara China. – Bernama