Kadar tambang
bas sekolah pada sesi persekolahan yang akan dibuka semula pada Januari
ini dijangka meningkat antara 30 hingga 50 peratus.
Presiden
Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) Amali Munif Rahmat
berkata, beliau tidak menolak akan ada pengusaha bas sekolah yang akan
berbuat demikian akibat peningkatan pelbagai kos yang perlu ditanggung.
"Jangan
terkejut jika berlaku kenaikan antara 30 hingga 50 peratus. Ini kerana
peratusan kenaikan akan diputuskan oleh pengusaha bas sendiri selepas
kadar tambang asas bas sekolah yang diwarta di bawah Lembaga Perlesenan
Kenderaan Perdagangan (LPKP) pada 2009 sudah tidak relevan lagi,"
katanya kepada mStar Online.
Sambil mempertahankan pengusaha bas
sekolah, beliau berkata, jika situasi itu berlaku, pengusaha bas tidak
patut dipersalahkan kerana Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)
dilihat tidak mengambil sebarang inisiatif untuk mengatasi masalah
tersebut.
"Macam mana kita nak tetapkan satu
kadar tambang yang memuaskan hati semua pihak jika tiada harga asas?
Jadi jangan salahkan kami jika berlaku kenaikan tambang nanti," katanya.
Dakwa beliau, sehingga hari ini, SPAD
dilihat cuba 'lepas tangan' bagi mengelak dipersalahkan oleh ibu bapa
seandainya tambang bas sekolah dinaikkan.
"Mereka dilihat seolah-olah mahu
'lepas tangan'. Kami dibiarkan terkapai-kapai. Bila tiada harga asas
yang baharu, SPAD jangan sebut tindakan akan diambil jika tambang
berlebihan. Sepatutnya mereka lakukan sesuatu untuk mengelakkan kemelut
ini berlarutan," katanya.
Malah, Amali berkata, sekiranya
pengusaha bas dan PIBG bersepakat menetapkan kadar tambang bas sekolah,
ia menjadi satu kesalahanan serius di bawah Akta Persaingan 2010.
"Kita
sudahpun diberi amaran oleh MyCC (Suruhanjaya Persaingan Malaysia)
supaya tidak melakukan penetapan harga secara kolektif. Jadi kami
tersepit antara MyCC dan SPAD. Apa yang patut kami lakukan," katanya.
Pada Oktober lalu, MyCC memberi
amaran kepada ahli persatuan itu yang didapati mengambil bahagian serta
bersetuju dalam penetapan harga secara kolektif, boleh dikenakan denda
sehingga 10 peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan mereka.
Malah, perlakuan penetapan harga
adalah bertentangan dengan Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dan semua
operator bas diminta supaya menentukan struktur tambang bas mereka
secara bebas dan tidak menetapkan struktur tambang bas bersama operator
yang lain.
Pada Selasa lalu, pengusaha bas
sekolah menegaskan tetap menaikkan tambang bermula Januari ini dengan
struktur tambang bas masing-masing ditentukan secara individu dan bebas.
Kata-kata itu
dicapai dalam satu resolusi yang dicapai menerusi mesyuarat yang
dihadiri seramai 105 perwakilan PPBSM di ibu negara pada Selasa lalu.
Amali
menyifatkan kenaikan itu sebagai satu keperluan selepas lebih
lima tahun tambang bas sekolah tidak pernah dikaji semula, selain
peningkatan
kos operasi termasuk alat ganti.
Malah, beliau berkata, kenaikan juga pasti berlaku sekiranya harga runcit diesel melebihi 50 sen daripada harga sedia ada.
SPAD pada awal
Oktober lalu menetapkan pengendali bas sekolah tidak akan terikat kepada
satu struktur tambang tetap lagi tetapi bebas menentukan anggaran
tambang masing-masing berdasarkan rundingan bersama pihak sekolah dan
ibu bapa.
Namun, sejak
itu, keputusan tersebut mendapat bantahan daripada beberapa pengusaha
bas yang menyifatkan ia sebagai sesuatu yang mustahil dan sukar untuk
dilaksanakan kerana tiada garis panduan disediakan dalam penetapan harga
baharu berkenaan.
Sumber : Mstar