Perdana Menteri Australia Tony Abbott berkata terdapat satu petunjuk baru yang boleh dipercayai dalam pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang hampir tiga minggu lepas.
Laporan media Australia berkata Abbott diberi taklimat mengenai analisis data terbaru radar yang membuatkan pihak berkuasa memindahkan kawasan carian 1,100 kilometer ke timur laut, berikutan makluman terbaru daripada pasukan penyiasat antarabangsa di Malaysia.
Zon pencarian kini seluas kira-kira 319,000 kilometer persegi dan 1,850 kilometer ke barat Perth.
Analisis itu datang daripada data radar antara Laut China Selatan dan Selat Melaka sebelum perhubungan dengan MH370 terputus.
"Ini adalah petunjuk baru yang boleh dipercayai dan akan diperiksa dengan teliti," Abbott berkata dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.