Kediaman
keluarga pembantu juruterbang MH370, Fariq Abdul Hamid di Seksyen 7 di
Shah Alam menjadi tumpuan media. – Gambar The Malaysian Insider oleh
Nazir Sufari, 15 Mac, 2014.Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak hari ini mengesahkan pesawat tidak dikenali yang dikesan
radar utama adalah pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.Katanya pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Beijing itu tersasar dari laluan asal Sabtu lalu dan hilang.
Walaupun terdapat laporan media mengenai kemungkinan pesawat itu dirampas, Najib menegaskan bahawa pihak berkuasa masih menyiasat semua kemungkinan sehingga kepada apa yang menyebabkan Penerbangan MH370 tersasar dari laluan penerbangan asalnya.
"Hari ini berdasarkan data satelit belum diproses, yang diperoleh dari penyedia perkhidmatan data satelit, kami boleh mengesahkan bahawa pesawat yang ditunjukkan dalam data radar utama itu adalah Penerbangan MH370," katanya ketika membacakan kenyataannya dalam taklimat media yang diadakan di hotel Sama-Sama di Sepang hari ini.
Selepas banyak kajian forensik dibuat dan perbincangan mendalam diadakan, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), National Transportation Safety Board (NTSB), Air Accidents Investigation Branch (AAIB) dan pihak berkuasa Malaysia, yang mengkaji data itu secara berasingan, memberi pendapat yang sama, katanya.
Berikutan perkembangan itu, Najib berkata Malaysia dan rakan antarabangsanya memutuskan bahawa komunikasi kali terakhir antara pesawat itu dengan satelit, berlaku di salah satu daripada dua koridor - utara atau selatan.
Kemungkinan dua koridor itu adalah satu koridor utara yang menganjur lebih kurang dari sempadan Kazakhtstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand atau koridor selatan yang menganjur dari Indonesia hingga ke selatan Lautan Hindi.
"Pasukan siasatan sedang berusaha memperhalusi maklumat ini," katanya.
Najib berkata menurut data baharu itu, kali terakhir pesawat itu dan satelit berkomunikasi ialah pada 8:11 pagi waktu Malaysia, Sabtu, 8 Mac.
"Pasukan penyiasat sedang membuat kiraan selanjutnya untuk mengetahui hingga sampai ke mana pesawat itu mungkin terbang selepas kali terakhir ia mempunyai hubungan. Ini akan membantu kami memperhalusi usaha mencari.
Berikutan jenis data satelit yang ada, kami tidak dapat mengesahkan lokasi tepat pesawat itu berada ketika kali terakhir ia membuat hubungan dengan satelit," katanya.
Najib berkata pihak berkuasa telah menjalankan operasi mencari di daratan, di Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Andaman dan Lautan Hindi.
"Di setiap peringkat, kita bertindak berdasarkan maklumat yang disahkan dan kita mengikuti setiap petunjuk yang dipercayai. Kadang kala petunjuk ini tidak membawa ke mana," katanya.
Beliau berkata maklumat satelit yang baharu mempunyai impak yang signifikan dari segi sifat dan skop operasi mencari.
"Kita bekerjasama dengan negara-negara berkaitan untuk meminta semua maklumat yang relevan dalam usaha mencari termasuk data radar," katanya.
Beliau berkata memandangkan dua koridor baharu itu membabitkan banyak negara, kedutaan asing yang relevan dijemput menghadiri taklimat mengenai maklumat baharu oleh Kementerian Luar Malaysia dan pakar-pakar teknikal.
Najib juga mendedahkan bahaawa berdasarkan maklumat satelit baharu, ia boleh dijelaskan dengan "kepastian tahap tinggi' bahawa Sistem Pengendalian Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS) dimatikan sejurus sebelum pesawat itu sampai di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia dan tidak lama selepas itu, berhampiran sempadan kawalan trafik udara antara Malaysia dan Vietnam, transponder pesawat itu dimatikan.
"Mulai saat itu, radar utama Tentera Udara Diraja Malaysia menunjukkan sebuah pesawat, yang dipercayai - tetapi tidak disahkan - MH370 memang berpatah balik.
"Ia kemudian terbang semula ke arah barat melalui semenanjung Malaysia sebelum membelok ke arah barat laut. Sepanjang tempoh itu, sehinggalah ia hilang daripada liputan radar utama, pergerakan yang berlaku menunjukkan ia adalah hasil tindakan secara sengaja oleh seseorang yang berada dalam pesawat itu," katanya. –

