Beberapa penerima BR1M 3.0 berkumpul kerana tidak puas hati apabila bantuan yang diterima tidak sepertimana yang dijanjikan kerajaan.
Pengadu, Shaipul Bahri Mohamad Nor, 53, dari Padang Temusu mendakwa, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kepala Batas, berpendapatan RM550 sehingga RM750 bergantung kepada elaun bekerja yang tidak menentu.
Dakwanya, pada BR1M pertama dan kedua, bantuan yang diperoleh RM500, tetapi BR1M kali ketiga hanya RM450 sahaja.
“Saya hairan kerana isteri tidak bekerja, saya juga bekas anggota tentera tanpa berpencen dan hanya mengharapkan gaji bulanan semata-mata.
“Walaupun hanya mempunyai seorang anak yang masih dalam tanggungan berusia 14 tahun, saya hairan kerana rakan sekerja lain ada yang menerima RM650.
“Saya agak terkilan apabila menerima baucar RM450 tidak seperti kerajaan umumkan,” katanya.
Selain itu, Morad Harun, 56, dari Taman Teluk Baiduri mendakwa, dia hanya mendapat baucar RM300 untuk BR1M kali ini.
“Saya tidak pasti bagaimana pihak berkenaan membuat penelitian kerana pemberiannya tidak selaras,” katanya.
Morad mendakwa, dia kini menghidap sakit buah pinggang, darah tinggi, jantung dan kencing manis serta menetap di rumah salah seorang anaknya kerana sudah berpisah dengan bekas isteri.
Dakwanya, perbelanjaan terhadap rawatan selain kos ulang-alik ke pusat rawatan juga memerlukan perbelanjaan besar, kerana kini tidak mampu lagi bekerja untuk menyara diri sendiri.
Selain itu, Abd Rani Yahya, 51, dari Kampung Haji Kudong, Kota Kuala Muda mendakwa dia baru sahaja berhenti kerja di sebuah kilang pada Januari lalu.
“Kini, saya tidak lagi bekerja dan dua anak berusia 10 dan 16 masih bersekolah, tetapi hanya menerima RM450” katanya.