Ketua Aktivisnya, Nadzim Johan berkata, langkah memansuhkan sistem itu antara pilihan yang ada untuk kerajaan dalam menangani isu tersebut memandangkan PPIM menerima banyak rungutan daripada masyarakat berhubung PBS.
“Rungutan berkaitan kelemahan sistem, kemudahan internet menjadi antara rungutan besar yang membawa kesan yang besar kepada kehidupan guru dan murid. Berbagai rungutan juga dapat dilihat di banyak media sosial dengan berbagai komen dan cadangan serta kutukan.
“Negara ini amat bergantung kepada falsafah pendidikan yang diformulasikan. Berdasarkan kajian dan pembentangan kepada PPIM, kami mendapati isu PBS ini hanya mempunyai dua pilihan iaitu mansuh atau satu projek rintis dalam skop tempoh beberapa tahun diadakan,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Nadzim berkata, PPIM menyokong penuh usaha semua pihak dalam mencari jalan terbaik dan mengharapkan Kementerian Pendidikan dapat berkompromi dengan Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) dalam isu tersebut.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan sepatutnya menjemput Jawatankuasa SGMM untuk berbincang secara hati ke hati bagi meleraikan sebarang kekusutan dan menyelesaikan apa juga masalah berhubung sistem berkenan.
“PPIM berharap dalam mencari jalan terbaik bagi penyelesaian ini demi kepentingan masa depan semua rakyat Malaysia dan generasi akan datang,” katanya.
Media pada 24 Februari lalu melaporkan Kementerian Pendidikan tidak akan memansuhkan PBS sebaliknya akan meneruskan pelaksanaan sistem itu selepas kajian bentuk baharu pelaksanannya diumumkan pada 1 April depan. – mynewshub.my