Pencarian MH370 dan kotak hitamnya bakal menjadi sangat sukar apabila
ahli kaji bumi laut Australia yakin serpihan pesawat Malaysia Airlines
itu terletak di atas rantaian dasar laut yang luas akibat gempa bumi dan
jarang dikaji sebelum ini, lapor Sydney Morning Herald (SMH).
Ia menjadi lebih sukar apabila satu-satunya kapal Australia yang mampu
membuat penilaian sehingga 3,000 meter dalamnya, RV Southerm Surveyor,
dikeluarkan daripada bertugas pada Disember, kata akhbar harian itu.
Robin Beaman, dari James Cook University, memberitahu
SMH, hanya sebahagian kecil dasar laut selatan Lautan Hindi yang
termasuk dalam zon pencarian ini dipetakan secara terperinci.
Sehubungan itu, katanya, sebarang percubaan untuk mendapatkan bangkai
memerlukan pemetaan 3D yang luas, mungkin oleh kapal-kapal dengan alat
pengesan bunyi multibeam echo.
"Ia benar-benar masa yang tidak baik. Australia tidak mempunyai
keupayaan pemetaan kedalaman ini," katanya yang dipetik oleh SMH. Alat
pengesan bunyi Multibeam echo boleh menghantar denyutan bunyi dalam
bentuk kipas, yang boleh menentukan kedalaman dasar laut secara langsung
di bawah kapal itu dan di sekitarnya, melalui corak yang dikenali
sebagai 'swath'.
Beaman berkata, buat masa ini, pengganti RV Southerm Surveyor masih
berada di Singapura menunggu untuk menjalani ujian di laut. ~tmi